Monday 3 September 2012

BERIKANKU PELUANG HAPUSKAN SEDIHMU BAB 5

Rafiq bangun dari katil dengan mata yang terpisat-pisat apabila bangun dari tidur. Pukul lapan adalah waktu biasanya untuk bangun pagi. Solat subuh ditinggalkan begitu sahaja. Langsung tidak dihiraukan kewajipan itu. Bibirnya yang dirasakan kering dijilat. Dengan langkah yang lemah dia berjalan menuju ke bilik air. Namun langkahnya terhenti apabila memandang cermin. Gambar Kirana! Cermin itu dipandangnya lagi! Namun langsung tiada gambar itu di cermin. Tangannya pantas menarik laci di meja solek. Tiba-tiba dia terdiam dan berdiri kaku menghadap cermin. Melalui pantulan cermin itu, dia terlihat cebisan-cebisan kertas yang berselerak di permaidani biliknya itu yang berada di belakangnya. Tubuhnya dipusingkan dan pantas dia menuju ke permaidani biliknya itu. Dia duduk bertinggung sambil memungut cebisan gambar arwah Kirana. Baru dia teringat, semalam dia begitu sibuk untuk cuba mencantumkan gambar itu sehingga makan malam langsung tidak sudi dijamahnya. Macam mana aku nak cantumkan gambar ni balik? Ah! Memang celakalah yang buat gambar Kirana macam ni! Dia terus-terusan menyalahkan orang lain sedangkan apa yang terjadi pada gambar arwah Kirana adalah kerana salahnya. Tiba-tiba dia teringatkan Hakim. Sangkaan buruk mula bermain di fikirannya. Entah-entah ini semua angkara Hakim! Rafiq mendengus kasar. Dia yakin sekali semua ini pasti gara-gara abangnya itu. Siapa lagi lelaki yang sudai merampas kebahagiaannya kalau bukan Hakim!

Datin Sri Fatimah menyediakan sarapan. Kali ini sarapannya istimewa sekali kerana makanan yang disukai Hakim disediakan sekali. Mulai sekarang, dia akan cuba melupakan apa yang pernah terjadi dalam hidupnya bersama si 'dia'. Dia berharap sekali dia tidak akan terserempak atau terjumpa dengan lelaki itu. Kerana lelaki itulah dia melihat bayang lelaki itu terbias pada wajah Hakim apabila dia memandang anaknya. 

 Matanya menangkap kelibat hakim yang sedang berjalan turun dari tangga menuju ke ruang makan. Apabila mata mereka bertembung, senyuman mesra dari bibir Datin Sri Fatimah dilemparkan kepada anaknya. Hakim yang melihat senyuman itu berasa canggung untuk membalas kerana selama ini sambutannya di ruang makan sentiasa disambut dingin oleh ibunya. Belum sempat dia menarik kerusi itu, ada tangan yang sudi menarik untuknya. Hakim terkaku. ibunya hanya tersenyum dan menjemputnya duduk. Mi goreng dengan telur mata kerbau kegemarannya dihidangkan di pinggan Hakim. Hakim hanya memandang saja perlakuan ibunya yang dianggap ganjil.

Hakim mencapai segelas susu dan roti bakar yang dihidangkan di meja makan itu. Mi goreng dan telur mata kerbau itu langsung tidak dijamahnya. Dia bukan tidak sudi menjamahnya cuma dia sekarang kurang mengambil makanan berat pada waktu sarapan. Datin Sri Fatimah berasa kecil hati melihat anaknya.
" Hakim, ibu ada buat mi goreng dengan telur mata kerbau kegemaran Hakim. Ini istimewa tahu untuk Hakim," ujar Datin Sri Fatimah ceria bersama sebak. Dia teringin untuk melayan Hakim seperti mana dia melayan Rafiq.
" Maaf ibu. Hakim tak ambil makanan berat waktu sarapan," balas Hakim pendek dan terus menjamah roti bakar itu.
" Tapi bukan dahulu Hakim suka makan mi goreng dengan telur mata kerbau ke?" tanya Datin Sri Fatimah. Dia pasti ini makanan kegemaran anaknya. 
" Itu dahulu. Masa Hakim umur enam tahun. Sekarang ni Hakim dah 27 tahun." Datin Sri fatimah terkedu mendengar jawapan anaknya. Tangannya menggigil mendengar jawapan Hakim. Teruknya dia sehingga makanan kegemaran anaknya pun dia tidak tahu. Air mata yang ingin mengalir ditahan sebaik mungkin. Selama 21 tahun dia tidak menghiraukan apa makanan yang disukai anak sulungnya itu.

" Err, kalau begitu nanti ibu masakkan Hakim ayam masak asam pedas untuk makan tengahari nanti. Itukan kegemaran Hakim," kata Datin Sri Fatimah. Entah betul entah tidak itu makanan kegemaran Hakim kerana selama dia memasak ayam masak asam pedas waktu makan tengahari, anak sulungnya itu laju menjamah dan mungkin itu makanan kegemaran Hakim walaupun ayam masak asam pedas itu sentiasa disediakan kerana ia masakan kegemaran 'anak emasnya'.
" Ayam masak asam pedas? Itu bukan makanan kegemaran Rafiq ke?" balas Hakim yang kedengaran agak sinis pada pendengaran ibunya.
Datin Sri fatimah tergamam. Air matanya sudah bergenang di tubir mata. Hakim yang sedar dirinya yang sedang direnung ibunya terus-terusan memakan roti bakar itu walaupun tekaknya terasa payah untuk menerimanya lagi-lagi dengan keadaan waktu ini.
Datin Sri Fatimah hanya berdiri kaku di samping anaknya sambil melihat anak sulungnya itu menjamah makanan. Dia masih menunggu anaknya menghabiskan roti bakar itu dan kemudian menjamah pula mi goreng dengan telur mata kerbau yang dibuat khas untuk anaknya. Namun hampa yang dia terima.

Hakim bangun dari kerusi makan dan mencapai sehelai tisu lalu bibirnya dikesat. Pagi Sabtu ini dia ingin pergi ke rumah ibu mertuanya untuk melawat anak perempuannya yang baru berusia setahun lebih. Anaknya diletakkkan dibawah jagaan ibu mertuanya kerana ibunya sendiri tidak mahu menjaga cucunya sendiri sementara dia pergi kerja. Hakim berjalan melintasi ibunya yang masih berdiri kaku di sampingnya. 

Setitis air mata wanita itu jatuh di pipi. Namun dia cuba untuk buat tidak terlihatnya. Hatinya berasa berdosa sekali membuat air mata wanita itu menitis. Tiba-tiba Hakim kaku.
Datin Sri Fatimah memeluk erat anak lelakinya dari belakang. Dia menangis teresak-esak di bahu Hakim. Bibirnya tidak henti-henti memohon maaf atas kesilapannya dan Hakim turut mengalirkan air mata. Rasa lemah longlai kepala lututnya menerima pelukan dari ibunya. Selama ini dia sangat mendambakan pelukan ibunya namun semuanya hanya mimpi. Tapi sekarang, dia sudah tidak berharap lagi tetapi ibunya yang memeluknya. Dia menangis teresak-esak. Terharu menerima pelukan setelah 21 tahun berlalu. Dimanakah ibunya disaat dia mengharapkan kasih sayang ibunya? Di mana ibunya? 

Rafiq keluar dari biliknya dengan pakaian tidurnya masih tersarung di badan menandakan dia masih belum mandi. Kakinya laju menuruni tangga ke ruang makan. Dia pasti Hakim berada di meja makan. Dia inginkan penjelasan Hakim mengenai gambar kekasih hatinya yang sudah koyak! Hatinya benar-benar buta kerana dendam cinta!
Rafiq menyorok di sebalik dinding apabila melihat abang dan ibunya sedang bertangisan sambil berpelukan. Makin meluap-luap amarahnya. Ohhh! Dulu kau rampas Kirana dari aku, sekarang kau nak rampas ibu dari aku! kau silap Hakim! kau silap! Hatinya membentak geram.

" Hakim!" panggil Rafiq dengan kasar. Kakinya laju menuju kearah ibu dan abangnya. Sakit hatinya melihat ibunya memeluk abangnya.
Hakim dan ibunya tersentak mendengar jeritan adiknya di hujung tangga. Pelukan ibunya dileraikan dan teragak-agak ibunya hendak melepaskannya.
" Kenapa ni Rafiq? Dari atas dah terjerit-jerit," tegur Datin Sri Fatimah lembut. Rafiq didekatinya dan wajah anak lelakinya direnung lembut. Serabut sungguh wajah anak kesayangannya itu. 
Rafiq melepaskan nafas kasar. Sakit hatinya apabila melihat ibunya memegang tangan Hakim. Selama ini usah dikatakan sentuh, untuk memadang wajah hakim pun ibunya enggan. 
" Ibu! Kalau ibu nak tau, si Hakim ni tak pernah puas untuk hancurkan hidup Rafiq!" ujar Rafiq lantang. Dia berdiri di hadapan Hakim dan kolar abangnya dicengkam marah. Hakim terdorong ke hadapan. Wajah mereka hanya tinggal lagi bebrapa inci untuk bertemu. Hembusan nafasnya yang hangat dapat dirasai Hakim.
Datin Sri fatimah yang melihat keadaan genting itu pantas menerpa kearah anak lelakinya. Dia risau jika Rafiq  mengapakan Hakim. Hakim pula hanya diam sambil membalas renungan tajam adiknya itu. Dia ingin adiknya melepaskan geram kepadanya sepuas mungkin. itu lebih baik dari adiknya terus-terusan menyalahkan takdir.

" Rafiq, bawa mengucap, nak," ujar Datin Sri Fatimah lembut. Dengan anaknya ini, dia kena berlemah lembut kalau tidak makin tertekan anaknya apabila kekasaran dibalas dengan kekasaran.
Rafiq mendengus kasar! Geram dengan ibunya yang jelas-jelas menunjukkan ibunya menyebelahi Hakim.
" Ibu, gambar arwah Kirana dia yang koyakkan! Dia tak puas hati dengan Rafiq sebab tu dia koyakkan gambar arwah Kirana," balas Rafiq lantang terus-terusan merangka cerita berdasarkan sangkaan buruknya. Tekaknya terasa perit apabila menjerit-jerit.
" Kau ada bukti aku koyakkan gambar tu?" tanya Hakim sambil bibirnya dimuncungkan kearah cebisan-cebisan gambar yang berada dalam genggaman Rafiq.
Rafiq terkedu mendengar kata-kata Hakim. Memang dia tak ada bukti tapi dia pasti!
" betul tu rafiq. Kamu ada bukti? Jangan bersangka buruk Rafiq," pujuk ibunya lembut. Bahu anaknya diusap lembut. Rafiq melepaskan cengkamannya dari kolar abangnya. " Habistu siapa?" bisik Rafiq sendiri sambil merenung Hakim dihadapannya. Kata-katanya tadi bagaikan ingin jawapan dari Hakim. hakim yang dengar bisikan adiknya menggeleng tidak tahu.
" Ah, tak! memang dia ibu! Memang Hakim yang buat. Tak ada orang lain dekat rumah ni selain dia yang suka buat Rafiq menderita!" bentak Rafiq geram dan tiba-tiba satu penumbuk dilayangkan ke pipi abangnya. Hakim tidak mengelak tumbukan itu kerana dia sengaja berbuat begitu. Hakim tumbang ke lantai. Rafiq menerpa kearah Hakim dan lelaki itu dibelasah secukupnya. hakim tidak melawan malah dihasut adiknya agar terus membelasahnya. Ini semua bayaran apa yang telah kau buat dekat aku, Hakim! Getus hati Rafiq marah.
" Ya Allah, rafiq! Cukup-cukup! Jangan macam ni, nak!"jerit Datin Sri Fatimah.
Tangan anaknya cuba ditahan dari memukul Hakim namun apalah kudratnya.

" Rafiq! Hakim tidak bersalah! dia tak koyakkan pun gambar Kirana tapi kamu sendiri yang lakukannya! Kamu sendiri yang koyakkannya! Kamu jangan jadi meroyan dekat dalam rumah ni dengan pukul orang sesuka hati!" jerit datin Sri fatimah melepaskan marahnya. Tangan yang menumbuk Hakim terhenti. Dia memandang ibunya yang sedang menangis hiba di lantai sambil merayu-rayu supaya melepaskan abangnya. Rafiq menggaru kasar kepalanya yang tidak gatal. Kepalanya dicengkam kuat. Aku ke yang koyakkan gambar tu? Tapi kenapa? Hatinya tertanya-tanya sendiri. " Tak mungkin aku yang koyakkan! Tak mungkin! Aku sayang Kirana dan aku tak akan buat macam tu!" 
"Arh!!!" jerit rafiq dan berlari menuju ke biliknya. Pintu biliknya dihempas kasar.

Hakim yang terbaring lemah mengengsot mendekati ibunya yang terduduk lemah di lantai ruang makan itu. Tubuh ibunya dipeluk erat. menangislah ibunya melepaskan rasa sakit melihat anak bongsunya bagaikan orang yang hilang akal.
" Ibu dah tak sanggup lagi hakim. Ibu tak sanggup lagi tengok dia macam tu," bisik Datin Sri fatimah. Dada hakim lencun dengan tangisan ibunya. Dia juga turut mengalirkan air mata. Kalau dia tidak berjumpa dan memendam perasaan dengan Kirana pasti semua ini tidak akan terjadi! Astaghfirullahalazim! Dia segera beristighfar apabila memikirkan dia sudah melanggar takdir!


4 comments:

  1. Replies
    1. okey!! Sye akn post lg n3 bru... tggu eh... skrg ni busy skit dgn I Love You Hubby!... (^-^)

      Delete
  2. sape hero dlm citer nim? rafiq or hakim?

    ReplyDelete
    Replies
    1. the first hero, rafiq..and the sec hero,hakim...

      Delete