Saturday 20 July 2013

I Love You, Hubby! 17 (half)

Writer menyusun sepuluh jari memohon kemaafan atas kehilangan diri ini. :) Dengan itu, writer sajikan dengan bab 17 separuh. Enjoy...
****************

Azan Subuh sayup kedengaran berhampiran dengan rumah banglo itu. Kalimah suci yang dilaungkan itu membuatkan Keisya membuka matanya perlahan-lahan. Rasa berat saja nak buka mata sebab malam tadi, hampir pukul tiga pagi baru niat nak tidur itu ada. Menantikan si suami yang tak kunjung tiba membuatkan dia tidur bertemankan air mata dan kata-kata cinta dari suaminya. 

Keisya menggosok perlahan matanya. Dia memandang siling dalam keadaan yang masih mamai. Beberapa minit kemudian, dia bingkas bangun dan matanya mencari insan lain di dalam bilik itu. Namun hampa yang ditemuinya. Aish tiada di sini, tiada bersama dengannya. Kemungkinan lelaki itu langsung tidak balik. Mudah sahaja air matanya ingin meleleh. Terasa macam besar sangat kesalahannya pada malam semalam sedangkan itu semua hanyalah perlakuannya yang tidak disengajakan.

Sofa yang selalu menjadi tempat tidur Aish didekati. Bagaikan terbau sahaja haruman tubuh Aish yang lekat di situ. Bantal yang selalu menjadi alas Aish di sofa ketika tidur dicapainya lalu dicium lembut. Serentak itu air matanya mengalir lembut membasahi bantal sofa itu. 

Bukan dia tidak memberi bantal yang tersedia di katil itu, tetapi lelaki itu lebih rela menggunakan bantal sofa itu. Bantal-bantal tidur yang berlebihan di bilik ini sering digunakan Aish sebagai 'perisai' untuk dirinya. Bantal-bantal itu disusun satu persatu di birai katil dengan tujuan menghalang wanita kesayangannya jatuh dari katil.

Tuk!Tuk!Tuk!

Keisya tersentak tatkala pintu biliknya diketuk perlahan. Bantal itu diletak kembali ke tempat asal dan satu suara lembut milik ibu mertuanya menujah masuk ke gegendang telinganya.

" Bangun Keisya. Dah masuk waktu subuh ni," ujar Puan Katijah dengan niat hendak mengejutkan menantunya itu.

" Keisya dah bangun ni, ibu," sahut Keisya dari dalam bilik. Kemudian, dia terdengar suara Shila di luar biliknya yang sedang berkata-kata dengan ibu mertuanya itu.

" Mak ngah, jom kita solat subuh secara berjemaah. Lagi afdhal kalau solat secara berjemaah daripada seorang diri kan, Mak ngah." Keisya mengetap bibir mendengar kata-kata gadis itu diluar biliknya. Kuat betul suara gadis itu seolah-olah hendak satu taman ini dengar suaranya itu. Dia tahu, pasti gadis itu hendak dia mendengarnya.

Pintu bilik dikuak perlahan. Wajah ibu mertuanya dan Shila yang masih berdiri di luar biliknya itu dipandang tenang.

" Ibu, boleh Keisya nak solat jemaah sekali dengan ibu?" tanya Keisya lembut. Sambil-sambil itu matanya melingas kiri dan kanan mencari kelibat suami tercinta. Namun tak kelihatan.

" Kamu ni Keisya. Mestilah boleh. Lagi bagus kalau solat berjemaah. Kamu pergi ambil wuduk sana. Ibu tunggu dekat ruang tamu. Kita solat dekat sana," balas Puan Katijah sambil tersenyum ceria. Dia sudah dapat melihat perubahan yang ada pada diri Keisya. Alhamdulillah, dia bersyukur anak lelakinya dapat mendidik wanita itu sehingga adanya perubahan yang baik.

Keisya tersenyum kecil lalu meminta izin untuk masuk semula ke dalam bilik. Baru sahaja pintu itu ditutup, dia menguak kembali pintu biliknya itu. Kelibat Shila sudah hilang di matanya  manakala ibu mertuanya sudah bergerak menuju ke tangga.

" Errr ibu," panggil Keisya lalu menghentikan langkah ibu mertuanya itu.

" Errr.. Aish belum balik lagi ke ibu?" tanya Keisya teragak-agak.

Puan Katijah memandang Keisya dengan kening yang berkerut. Masakan menantunya itu tidak tahu akan kepulangan anaknya sebentar tadi. Sebelum masuk waktu Subuh, anaknya itu pulang sebentar kemudian keluar semula sebelum azan subuh.

" Kamu tak sedar ke Aish balik tadi?" tanya Puan Katijah prihatin. Dia sudah dapat menghidu ketegangan yang masih berlaku dikalangan anak dan menantunya.

Keisya terpaku mendengarnya. Aish ada balik ke? Hatinya tertanya-tanya sendiri. Timbul sebak yang mula mencengkam kuat hatinya. Sampai hati lelaki itu. Balik tanpa memberi tahu dirinya, tanpa mengajaknya bersolat subuh secara berjemaah. Semudah itukah Aish merampas rasa bahagia yang ada? Tiada ruangkah untuk dia meminta maaf dekat lelaki itu dan menceritakan segala-galanya?

Puan Katijah mengetap bibirnya apabila melihat wajah keruh Keisya. Dia lihat ada air yang bergenang di tubir mata menantunya itu. Wanita muda itu didekati lalu dibawa tubuh itu ke dalam pelukannya. Lancar sahaja bibirnya berkata-kata kepada menantunya itu.

" Allah tidak pernah membiarkan hamba-Nya hidup bersenang-lenang tanpa dugaan yang ada. Apa yang Keisya rasa dan hadapi sekarang ni, semua ini adalah dugaan. Allah tak akan menduga Keisya dengan dugaan sebegini andai Keisya tidak kuat. Keisya kena hadapi semua ini kerana inilah dugaan dalam rumah tangga."

"Kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga berada di mana-mana sahaja, cuma kita saja yang perlu bersiap sedia untuk mempertahankan rumah tangga kita. Perkahwinan satu ikatan yang suci, runtuhnya sesebuah rumah tangga itu akibat kelalaian dari pasangan suami isteri itu mengundang kebencian Allah. Ingat, berkasih sayanglah antara suami isteri. Barulah perkahwinan dijamin bahagia," ujar Puan Katijah lembut. Tatkala ini dia sudah mendengar esakan halus daripada Keisya. Biarlah telekungnya basah asalkan menantunya itu dapat melepaskan semua yang dirasa. Sedikit sebanyak hatinya geram juga dengan sikap anaknya yang seolah-olah melarikan diri daripada masalah.

Jika dahulu, kehadiran wanita seperti Keisya langsung tidak diingini. Tetapi sedikit demi sedikit, dia mula sayang dengan wanita itu apatah lagi hati anaknya berada pada menantunya ini.


AISH bersandar lemah di dinding masjid yang bercat hijau muda. Tenang sedikit hatinya setelah melaksanakan solat subuh. Warna hijau yang melatari isi masjid ini menambahkan lagi rasa tenang di rumah Allah ini. Jam di masjid sudah menunjukkan hampir ke tujuh pagi. Orang ramai yang hadir pun sudah mula susut. Hanya tinggal dia dengan beberapa orang jemaah yang lain.

Telefon bimbitnya dikeluarkan dari kocek baju Melayunya. Telefon yang dimatikan itu diaktifkan semula setelah hampir satu jam dimatikan kerana menunaikan solat subuh. Aktif sahaja telefonnya itu, satu mesej daripada ibunya terus masuk ke telefonnya. Mesej itu sudah tiga puluh minit masuk ke peti mesejnya.

Aish dekat mana sekarang ni? Sebelum subuh ibu tengok Aish dah keluar. Kamu langsung tak beritahu Keisya kamu pulang. Kesian dia. Kalau kamu sayang dia, kamu tak patut tinggal dia macam tu saja. Kamu patut dengar penjelasan dia, bukan pergi macam tu saja seolah-olah menghukum dia.

Mesej yang berunsur tazkirah pagi daripada ibunya. Mesej daripada ibunya dibiarkan tidak berbalas. Tiada mood untuk melakukan apa-apa di pagi-pagi begini. Moodnya terus dibawa angin apabila melihat pipi isterinya yang lena berbekas dengan air mata. Lain tak bukan, pasti air mata kesal kerana perbuatannya.

Bukan niat dia hendak berlalu begitu saja. Tetapi dia tidak bersedia menghadap si isteri yang dilukai. Dia yakin pasti wanita itu marah dengannya. Mungkin juga akan menjauhkan diri darinya. Dia belum bersedia untuk semua itu setelah semua rasa indah dilalui mereka berdua.


DIA tersenyum puas. Mana tak puasnya apabila rancangannya sudah hampir selesai. APabila difikirkan balik, pelik rasanya apabila tiba-tiba sahaja dia inginkan Aish sedangkan dulu, ibunya beria-ria menyuruhnya memikat sepupunya itu tapi dia menolak. Adakah kerana pesaingnya Keisya menyebabkan dia rasa tertarik untuk memiliki lelaki itu? 

Sejak dulu lagi, dia memang menyimpan rasa benci dan iri hati terhadap wanita itu kerana Keisya mempunyai segala-galanya. Dari pasangan hingga ke harta, wanita itu mendahului dirinya.

Luka di tangan di belek. Luka itu masih belum disapukan ubat malah dibiarkan begitu sahaja. Dia sedang menunggu kepulangan Aish. Apabila lelaki itu pulang, segala plot 'drama' yang telah diatur akan 'ditayangkan'. Dia tersenyum sinis. Luka ini amat bermakna untuk dirinya. Dia berharap semuanya berjalan lancar. 

Jika dia tidak dapat memiliki Aish pun tidak mengapa asalkan dia dapat melihat Keisya disingkirkan dari keluarga itu. Dia tidak mahu wanita itu mempunyai hubungan dengan keluarga mak ngahnya ini. Dia benci! 

Telefonnya yang berbunyi tiba-tiba terus diangkat apabila nama ibunya terpapar di skrin telefon. Ibunya kini sudah pulang ke Malaysia. Itu yang membuatkan dia geram kerana ibunya tiba awal dari yang dijangka. Bagi menjayakan rancangannya, dia menyuruh ibunya agar pergi jauh untuk sementara waktu. Jika ibunya muncul di hadapan keluarga ini, hancur punah rancangannya!

" Hello ibu."

" Hello Shila. Kamu ni baru bangun dari tidur ke hape? Kamu jangan nak malukan ibu dengan membuta dekat rumah orang. Jaga sedikit perlakuan kamu tu, karang hancur semuanya..." bebel Puan Latifah berterusan tanpa sempat Shila berkata-kata apa. Gadis itu hanya mampu mendengus kasar sambil menjauhkan telefon bimbitnya dari telinganya. Hatinya mengutuk geram akan ibunya. Telefon aku pepagi buta ni cuma nak bagi ceramah sepuluh sen lebih baik tak payah!

Beberapa saat berlalu, Shila mendekatkan kembali telefon bimbitnya itu ke telinga dengan muka yang rimas mendengar bebelan ibunya itu.

" Ibu, dah habis ke belum ni? Ibu nak Shila dengar sehari suntuk ke ibu membebel? Kalau sehari suntuk, sorrylah ibu,Shila banyak kerja nak buat daripada dengar ibu membebel," bidas Shila geram. Sakit hatinya mendengar bebelan pedas orang tuanya itu. Macamlah dia tak pandai nak atur rancangannya itu. Dia bukan bodoh untuk atur semuanya.

" Eeee, mulut kamu tu... Aku sumbat dengan cili baru tahu. Kurang ajar sangat cakap dengan aku ni. Hey, sedar sikit, aku ni tau yang bela kamu tu sampai umur 23 tahun ni. Nak harapkan bapak kamu tu, entah-entah kamu ni dah jadi pelacur agaknya," ujar Puan Latifah lepas.

" Yalah, bu. Cukup-cukuplah tu membebel. Sakit telinga Shila ni nak tadah bebelan ibu tu. Berdarah tahu tak. Ibu ni sikit-sikit nak mengungkit je kejenya. Jadi pelacur pun untung juga, ibu. Dapat duit. Tak adalah hari-hari telinga ni nak kena sogok dengan bebelan ibu tu. Kalau tahi telinga tu boleh bertukar jadi jongkong emas tu tak apalah pula," jawab Shila selamba sambil menjulingkan mata ke siling tanda menyampah. Sudah lama dia tidak berperang mulut sebegini dengan ibunya. Sekali sekala syok juga dapat kutuk ibunya tu. Biar sedar sikit orang tua tu!

" Kamu ni... eeeee, macam bunyi gagak je aku dengar suara kamu ni tau. Kalau kamu depan mata ibu ni, memang dah cukup-cukup ibu kerjakan. Nasib baik...."

" Syyyy. Sudah-sudahlah tu ibu. Kalau ibu dah gian sangat nak membebel, pergi membebel dekat orang lain. Sikit-sikit nak membebel je kerja dia. Macam tak ada kerja lain. Hah, yang ibu ni call Shila kenapa?" tanya Shila yang sudah dapat mengagak apa yang ibunya itu inginkan.

" Ibu nak tanya, macam mana dengan rancangan kamu tu? Menjadi tak?" tanya Puan Latifah dengan tidak sabarnya. Manusia, kehancuran orang yang dicari. Keredhaan dari Tuhan, langsung dibawa ke tepi.

" Menjadi sangat sampai luka tangan Shila ni dikerjakan Keisya," jawab Shila sambil menyentuh perlahan luka yang masih baru itu. Tidak lah teruk mana tapi kerana luka kecil ini, ketegangan Aish dan Keisya terjadi. Untung dia terserempak dengan Keisya di dapur pada malam tadi, kalau tak, pasti semua ini tidak akan terjadi. 

" Hah luka?! Kurang ajar betul perempuan tu. Suka-suka hati dia je nak lukakan anak aku."

" Relakslah ibu. Luka ni lumayan tau ibu. Kerana luka ni lah, diorang tengah goyah tau. Kalau Shila 'jentik' sikit, mesti dah runtuh jawabnya," ujar Shila sambil ketawa jahat. Gembira sungguh dia.

" Apa yang dah jadi sampai luka kamu tu boleh jadi isu diorang bergaduh?" tanya Puan Latifah pelik. Pasal luka kecil tu pun boleh bergaduh? Hmm, hebat betul anak dara sunti dia ni. Eh sunti lagi ke?

" Yang tu ibu tak payah tahulah. Yang penting sekarang ni, kita cuma tunggu je masa yang sesuai," balas Shila sambil tersenyum membayangkan kehancuran yang akan terjadi. Senyuman di bibirnya kendur apabila mendengar derap langkah seseorang di luar biliknya dan dehaman seorang lelaki. 

" Ibu, okaylah. Shila ada hal ni. Bila-bila nanti kita sembang. Bye," ujar Shila tanpa berlengah. Telefon bimbitnya diletakkan di meja solek lalu menghampiri pintu biliknya.

Pintu bilik itu direnggangkan sedikit. Melalui bukaan yang kecil itu, dia melihat Aish sedang berlalu di hadapan biliknya. Terus pintu biliknya itu dibuka luas, konon-kononnya tidak menyedari kehadiran lelaki itu.

" Eh abang. Baru balik ke? Abang pergi mana tadi? Dah sarapan?" tanya Shila dengan senyuman lebarnya. Wajah tidak bermaya Aish dipandang dengan mata yang galak.

Lelaki itu hanya diam sahaja tanpa menjawab. Wajah Shila dipandang kosong lalu beredar masuk ke dalam biliknya tanpa mempedulikan Shila.Memandang wajah Shila menambahkan kekusutan yang sedia ada.

Shila mendongkol geram. Tangannya dikepal lalu tapak tangannya menepuk marah pintu biliknya itu. Eeee, lelaki ni. Boleh je dia buat tak tahu dengan aku? Dia lupa ke yang bini dia tu dah cederakan aku? Bongok betul! Tak apa. Kau tunggu. Kau tengoklah nanti apa yang jadi, bisik hati Shila penuh amarah. Dia masuk semula ke dalam biliknya dengan hati yang membengkak.

p/s: Sorry so sorry so sorry and again sorry sebab dah lama tak post. Dah nak hampir sebulan baru nak post. Writer bulan ni dah jarang ada masa untuk blog so hope you all bersabar di bulan yang barakah ini ;) Oh ya, sesiapa yang nak tampar Shila secara berjemaah dipersilakan :P









2 comments:

  1. Memang rasa nk bgi penampar je dgn shila geeerammnya + menyampah. Writer jgn lama sgt tau rajin2 eh

    ReplyDelete
  2. best,jahat giler shila tu.

    ReplyDelete