Wednesday, 5 June 2013

Hanya Dia Jannah! End (TAMAT)

Kepada mereka yang baru hendak membaca cerpen ini, writer minta korang semua bacalah dulu bab-bab yang ini sebelum baca entry yang bawah ini.
Part 1 (klik)
Part 2 (klik)
Part 3 (klik)

Setelah anda semua habis baca part yang diatas, baru boleh baca part akhir dibawah ini :)
************************************************************************************************************
Aish Ahsan membuka matanya yang terasa sedikit berat itu. Kepalanya pula terasa berat sangat dan dia dapat rasakan seperti ada cecair yang mengalir di belakang kepalanya. Dengan teragak-agak dia menyentuh belakang kepalanya. Tatkala tangannya menyentuh belakang kepalanya, kulit kepalanya terasa pedih sekali lalu tangannya itu dilihat. Ada darah merah yang sedang membasahi tangannya itu. Kusyen kereta yang menjadi tempat dia bersandar dipandang. Barang-barang yang terdapat dalam kereta itu dipandang. Ya, ini memang kereta dia tapi bagaimana kepalanya boleh berdarah...?

Johan! Baru dia teringat dia ada berjumpa dengan Johan di kelab malam. Pintu kereta yang tertutup itu dibukanya lalu tubuhnya dibawa keluar menghirup udara malam. Tangannya masih setia melekap di belakang kepala. Dia melihat waktu di jam tangannya. Dah pukul dua belas malam. Detik hatinya. Dengan teragak-agak dia keluar dari kawasan tempat keretanya di parkir yang berhadapan dengan kelab malam itu. Dalam hatinya menyumpah seranah Johan yang menyebabkan dia sebegini. Kalau dia tidak ikutkan kata-kata Fiq untuk turut serta dalam kelab malam itu, pasti dia tidak akan sebegini. Atau Fiq juga turut bersubahat dalam hal ini..?

Aish Ahsan menyandarkan tubuhnya di sisi pintu kelab malam itu. Dia tidak menghiraukan langsung pandangan orang ramai yang keluar masuk ke kelab itu. Tangannya menyeluk kocek mencari telefon bimbitnya. Dia perlu menelefon isterinya. Entah kenapa hatinya berasa tidak enak pula memikirkan Jannah yang sedang berada di rumah. Dahinya berkerut tatkala telefon bimbitnya tiada di dalam kocek. Dia mengeluh kasar. Mana pula handphone aku ni?! Bentak hatinya. Tangannya dikepal sebelum menumbuk geram dinding kelab malam itu.

" Woi, apa yang kau buat ini?" tegur seorang lelaki yang berbadan sasa. Mungkin orang yang ditugaskan menjaga kelab malam ini. Aish mengangkat kedua belah tangannya kehadapan seakan memohon maaf. Lelaki itu mendengus kasar.

" Engkau ni bukan yang kena heret dengan si Johan dan Fiq tu ke?" tanya lelaki itu sekali lagi sambil mengamati wajahnya yang bengkak itu. Aish tersentak mendengar pertanyaan lelaki itu. Namun apa yang membuatnya lebih tersentak apabila nama Fiq dikaitkan sekali. Kali ini, hatinya tidak dapat menipu akalnya.

FiqMaksud kau... Kau nampaklah aku kena belasah dan Fiq ada sekali time aku kena belasah?!" nada suara Aish naik tinggi. Dadanya berombak kencang. Amarahnya membuak-buak. Sial punya Fiq. Kau sanggup tikam belakang aku! Apa yang aku dah buat sampai kau sanggup buat aku macam ni? Hatinya berbisik sayu dan kurang percaya dengan tindakan rakan baiknya itu. 

"  Dah! Kau pergi berambus sana! Pergi sebelum aku pulak yang pecahkan muka kau," marah lelaki itu yang cuba menutup kata-katanya yang terlanjur sebentar tadi. Dia telah disuruh 'tutup mulut' oleh Fiq dan Johan namun terbuka juga akhirnya.

Aish menumbukkan tangannya sekali lagi ke dinding. Kemudian, baru dia beransur pergi dari situ dengan hati yang menyumpah-nyumpah Fiq. Dan hatinya kali ni, berasa tidak enak sekali. Keretanya pantas didekati dengan pening yang mula mengganggu kepalanya. Seluruh keretanya diselongkar untuk mencari handphone nya. Dia perlu menelefon isterinya. Dia ingin tahu apakah isterinya baik-baik sahaja. 

Matanya tertancap pada handphone nya yang berada di lantai kereta di bahagian penumpang. Gadget itu diambil sebelum tubuhnya dibolos masuk ke dalam kereta dan pintu ditutup. Dia menghidupkan handphone nya yang telah dimatikan itu. Dia tidak tahu siapa yang mematikan hadphone nya ini tapi dia pasti ini angkara Johan juga.

Hidup sahaja handphone itu, berkali-kali bunyi mesej menyapa telinganya. Matanya membulat apabila terdapat tiga belas panggilan yang tidak dijawab dan empat mesej yang masuk. Peti simpanan mesej dibukanya dan matanya tertancap pada satu mesej yang dihantar oleh ibunya. Hatinya tiba-tiba berdebar kencang sedangkan mesej itu masih belum dibacanya lagi.

From: Mama

Aish dekat mana sekarang ni? Puas mama dengan papa call tapi Aish tak angkat. Sekarang mama dengan papa dekat hospital. Rumah kamu dipecah masuk dan hampir isteri kamu jadi mangsa rogol. Mama nak kamu datang sini ASAP. Banyak perkara yang kami nak tanya ni.


Jantung Aish berdebar kencang membaca isi mesej itu. Rumahnya dipecah masuk? Berita itu tidak berapa mengejutkan dia kerana dia yakin itu angkara Johan tapi apabila melibatkan isterinya.... yang didakwa hampir dirogol membuatkan kemarahannya tidak dapat dikawal lagi. Tangannya menghentak stereng kereta dan hon keretanya membingitkan tempat parking kelab malam itu.

" Johan! Fiq! Keparat punya manusia!" jeritnya bagaikan orang gila di dalam kereta. 


DATIN Maria duduk termenung di hadapan wad menantunya manakala Datuk Arsyad di sampingnya menghabiskan masa dengan berzikir. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya apabila mengenangkan apa yang terjadi kepada menantunya. Nasib menantunya amat baik sekali apabila pengawal keselamatan rumah anaknya itu cepat bertindak dengan menelefon polis setelah sedar daripada pengsan akibat dihentak di kepala. Dan yang paling mengejutkan dia adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang remaja yang mengatakan bahawa anak lelakinya yang mengarahkan remaja itu merogol Jannah. Pada mulanya, dia tak nak mempercayai kata-kata remaja lelaki itu namun mesej pada handphone yang ditunjukkan oleh remaja itu kepadanya membuatkan hatinya remuk. 

" Abang, kenapa Aish sanggup buat macam ni dekat menantu kita? Diorang tak bahagia ke selama ni? Saya kesal sangat ada anak macam dia. Kalau saya boleh putar masa balik, dah lama saya buang dia kalau tahu hidup dia menyusahkan saya," ujar Datin Maria sedih. Air matanya sudah berjujuran di pipinya yang sudah menampakkan kedutan. Tangisannya mula kedengaran. 

Datuk Arsyad beristighfar mendengar kata-kata isterinya itu. Dia benci mendengar isterinya berkata begitu kerana apa yang ditimpakan Allah kepada hambanya tidak layak dipersoalkan atau dinilai. Kepala isterinya dipaut ke bahu lalu diusap lembut. 
" Bawa beristighfar Maria. Ini semua dugaan Allah. Awak tak boleh menilai yang benar di pihak budak tu sahaja Maria. Kita kena dengar dulu penjelasan dari Aish. Mana tahu ini semua hanya perbuatan khianat orang yang hendak mempecahbelahkan mereka je," ujar Datuk Arsyad yang lebih berfikiran terbuka. Tangannya yang kasar mengelus lembut tangan isterinya. Walaupun sudah 30 tahun berkahwin, namun kasih sayang masih utuh dan bertambah utuh lagi-lagi diusia yang semakin senja ini.

Datin Maria mengesat air matanya. " Tapi kemana Aish nya, abang? Dari pukul sembilan tadi Mar call dan hantar mesej dekat dia tapi dia tak balas langsung. Jangan-jangan dia dah larikan diri," kata Datin Maria lagi yang tidak mampu mengubah persepsi buruknya kepada Aish.

Datuk Arsyad menggelengkan kepalanya. Sudah tidak tahu hendak dikata apa lagi. Aish pun satu, dah tahu malam, nak juga keluar dari rumah. Kemudian ditinggalkannya Jannah bersendirian di rumah. Ya Allah, aku tahu ujian ini masih kecil untuk Kau timpakan kepada kami berbanding mereka yang jauh lebih berat ujiannya. Kuatkan lah pegangan kami sekeluarga agar dapat kami laluinya dengan kuat....


Semua mata tertumpu kearah Aish. Mana tidaknya, dengan muka yang bengkak dan darah yang mengalir di kolar baju sudah tentu membuatkan banyak mata memandang kearahnya. Dia melangkah terhuyung-hayang di dalam hospital itu. Pening sungguh kepalanya.. Seketika kemudian, dia terasa bahunya ditepuk oleh seseorang. Seorang lelaki dan seorang perempuan yang memakai kot putih labuh dipandangnya dengan mata yang mula layu.

" Encik kenapa ni? Doktor, dia perlukan bantuan dengan segera," ujar doktor lelaki itu kepada seorang doktor perempuan. Hanya ayat itu sahaja yang didengarinya sebelum dia rebah ke lantai.


Datin Maria bersandar di dinding hospital itu. Air mata tidak henti-henti mengalir membasahi pipi tuanya itu. Masakan tidak, menantunya baru sahaja dimasukkan ke dalam hospital sekarang anak tunggalnya pula yang ditempatkan ke dalam wad. Luluh hati tuanya melihat kesan lebam yang terpamer di wajah anaknya. 

" Maria, sudah-sudah lah tu.." pujuk Datuk Arsyad yang sedang duduk di kerusi. Melihat air mata isterinya yang makin galak membasahi pipi, dia bangun dari duduknya dan berdiri di samping isterinya. Tubuh itu dibawa menghadapnya.

" Jangan bazirkan air mata awak, Mar. Semua benda dah terjadi dan apa yang kita tempuhi sekarang ni dugaan, Mar. Kita kena kuat. Kita kena sentiasa ingat Allah itu ada untuk hambaNya yang sedang kesusahan, Mar," pujuk Datuk Arsyad. Datin Maria menyembamkan wajahnya ke dada suaminya. Betul apa yang dikatakan suaminya, dia kena kuat. Dia kena kuat dalam mempertahankan keluarganya ini.

" Datuk, Datin." Panggilan seseorang menyedarkan pasangan suami isteri itu. Mereka melepaskan pelukan masing-masing dan berdiri menghadap seorang doktor muda yang sedang tersenyum kepada mereka.

" Macam mana dengan keadaan anak lelaki saya, doktor?" tanya Datin Maria sedikit risau. Datuk Arsyad di sisinya memaut bahunya dan diusap lembut.

" Alhamdulillah. Keadaan anak datuk dan datin stabil. Dia cuma mengalami luka luar sahaja dan tidak memberi kesan pada organ dalaman," ujar doktor muda.

Datin Maria yang mendengar penjelasan doktor muda itu mengucapkan syukur yang tidak terhingga. Nasib baik anaknya tidak mengalami cedera yang serius sangat.
" Boleh kami masuk untuk lawat anak kami?" tanya Datuk Arsyad.

" Silakan datuk," ujar doktor itu sambil mempersilakan pasangan suami isteri itu ke dalam wad untuk melawat anak tunggal mereka. Datin Maria yang melihat keadaan anak lelakinya yang berbalut di bahagian kepala pantas menerpa ke arah Aish.

" Aish," seru Datin Maria lembut dengan linangan air mata. Aish yang sedang memejamkan matanya membuka matanya perlahan tatkala mendengar suara si ibu memanggilnya. Dia memandang ke arah kanannya dengan susah payah. Pening di kepala masih terasa.

" Mama..." seru Aish perlahan. Matanya memandang sekeliling wad itu mencari kelibat seseorang. Namun yang dia lihat hanya kelibat papanya sahaja yang sedang berdiri di belakang mamanya.

" Ya, kenapa sayang? Aish nak apa-apa ke?" tanya Datin Maria prihatin sambil kepala anak lelakinya itu diusap lembut. Melimpahkan kasih sayang yang tidak terhingga kepada si anak.

Aish menarik nafas panjang dengan sukar. Segala kisah hidupnya bersama isterinya bermain di hadapan mata. Bagaimana deritanya Jannah melalui kehidupan yang pahit bersamanya. Dia sedar semua itu namun dia hanya tutup sahaja matanya. Bukan dia tidak tahu, wanita itu menyayanginya tapi dia yang tidak ambil endah kerana hatinya... takut untuk bermain cinta sekali lagi.

" Mama," panggil Aish sekali lagi. Tangan ibunya diraih lalu dibawa ke bibir. Dikucup lembut tangan itu dengan mata yang bergenang air mata. Sungguh dia rasa dirinya ini berdosa sekali. Dia banyak kali mengabaikan hati tua ibunya. Dia leka dengan dunia sendiri. Leka sehingga semuanya menjadi begini.

Datin Maria tersenyum lalu menggenggam erat tangan kanan anaknya. Genggamannya itu dibalas oleh anak lelakinya.

" Papa," panggil Aish. Air matanya kini sudah galak menuruni pipi. Datuk Arsyad memalingkan wajahnya menghadap anak lelakinya itu. Tangan kirinya pula dihulurkan kepada papa nya. Dengan teragak-agak, huluran tangan anaknya itu disambut sambil ditepuk lembut.

Aish cuba bangun dari pembaringannya. Melihat kepayahan anak lelaki mereka untuk bersandar di kepala katil, pantas Datuk Arsyad dan isterinya membantu. Tatkala tangan mereka ingin dileraikan dari tangan Aish, pada ketika itu juga Aish menerpa ke arah orang tuanya itu dan memaut kedua-dua tubuh itu sambil menangis teresak-esak. Esakannya seperti anak kecil yang kehilangan sesuatu.

" Ma, pa... Maafkan Aish. Aish banyak dosa dengan semua orang. Aish banyak dosa dengan mama, papa dan... Jannah. Aish tahu Aish anak yang tak guna. Aish banyak sakitkan hati mama dengan papa. Aish tinggalkan tanggungjawab Aish sebagai anak, dan Aish abaikan perasaan mama dengan papa. Perasaan Jannah, Aish tak ambil peduli. Kebahagiaan Jannah yang mama dengan papa tengok selama ini.. hanyalah sandiwara kami. Aish yang bersalah, ma, pa. Aish yang suruh dia rahsiakan hal rumah tangga kami yang sebenarnya. Aish banyak seksa perasaan dia... Aish... Aish bukan suami yang baik untuk dia. Semua yang berlaku saat ni, semuanya berpunca daripada Aish.. Ampunkan Aish, ma, pa. Tolong ampunkan Aish," pinta Aish bersungguh-sungguh. Bahu ibunya yang menjadi tempat kepalanya disandarkan sudah lencun dengan air matanya. Kepalanya diangkat dan wajah kedua orang tuanya itu dipandang. Tanpa disangka-sangka, satu penampar hinggap di wajahnya. Spontan tubuhnya terlentang ke atas katil.

" Kamu memang anak yang tak tahu beruntung, Aish. Apa salah mama dalam didik kamu Aish? Jadi betullah kan, semua yang terjadi dekat Jannah semuanya angkara kamu, betul kan? Betulkan?!" Suara Datin Maria bergema dalam wad itu. Matanya memandang garang anak lelakinya itu. Tangannya diangkat tinggi sekali lagi ingin memukul anak lelakinya itu, namun pantas tangannya ditahan oleh suaminya. Tubuhnya itu dipaut dari belakang oleh Datuk Arsyad, meminta isterinya agar lebih bersabar.

Aish memegang pipi kirinya yang panas menerima tamparan mamanya. Dia menangis teresak-esak bukan kerana sakit tapi kerana dia dapat rasakan ibunya sekarang sudah benci akan dirinya.
" Ma, Aish tak..."

" Kalau Jannah tak maafkan kamu, jangan harap mama nak maafkan kamu Aish. Apa yang mama nak jawab dengan ibu Jannah, Aish? Apa...?" Datin Maria memeluk suaminya dengan esakan yang makin menjadi. Hati tuanya sakit sekali. Kalau dia tahu, perkahwinan ini akan menyiksa Jannah, sudah tentu semua ini tak akan terjadi. Dia rasa bersalah sekali... sangat-sangat bersalah...

" Pa, Aish..."

" Sudahlah Aish. Papa tak tahu nak cakap apa lagi dengan kamu. Kamu rehatlah. Papa dengan mama nak balik dulu. Kamu rehat dan jangan banyak berfikir," ujar Datuk Arsyad lemah tanpa memandang wajah anak tunggalnya itu. Hati tuanya turut berasa sakit mendengar pengakuan anak lelakinya itu. Dia memimpin isterinya yang masih bersedih itu untuk keluar dari wad itu.

Aish terdiam di atas katil itu. Dia ingin memberikan penjelasan yang sebenarnya tetapi tidak diberi peluang. Dia hanya mampu menundukkan kepalanya mengenang nasib isterinya dan nasib perkahwinannya ini.

Belum sempat tangan Datuk Arsyad menolak pintu wad itu, pintu itu dibuka dahulu dari luar. Doktor muda yang merawat anak lelakinya dan menantunya itu memandang wajah tua dihadapannya itu bersilih ganti.
" Datuk, Datin, menantu datuk dan datin telah sedar," beritahu doktor muda itu. Datin Maria yang mendengar pantas mengesat air matanya.
" Betul ke doktor? errr, boleh kami lawat dia?" pinta Datin maria penuh berharap.
" Boleh sahaja, datin," balas doktor itu lembut. Datin Maria dan Datuk Arsyad melangkah keluar dari wad itu hendak menuju ke wad menantu mereka.

" Ma, pa, tunggu dulu. Aish nak lawat isteri Aish juga,"pinta Aish lemah yang sudah berdiri di sisi katil dengan keadaan yang kurang stabil. Doktor muda dan seorang jururawat yang melihat keadaan Aish pantas mendekatinya. Doktor lelaki itu memegang lengan Aish.

" Encik perlu berehat dulu," ujar doktor lelaki yang muda itu sambil mengarahkannya berbaring semula.

Aish menepis lembut tangan doktor itu. " Saya okey doktor. Saya nak lawat isteri saya doktor. Tolonglah doktor. Saya nak tahu keadaannya. Ma... pa.. Tolong Aish, please," rayu Aish dengan mata yang masih tidak kering dengan air mata.

Datuk Arsyad bersimpati dengan keadaannya. Dia tahu anaknya pasti dibelenggu dengan rasa bersalah dan tanggungjawab yang sudah lama ditinggalkan. Datin Maria memandang suaminya yang sedang memandang ke arah anaknya.

" Abang," panggil Datin Maria akan suaminya sambil menggoyangkan lembut tangan suaminya.

" Doktor, tolong izinkan anak lelaki saya berjumpa dengan isterinya. Untuk kali ini sahaja doktor," rayu Datuk Arsyad bagi pihak anaknya. Dia tidak sanggup melihat keadaan anak lelakinya itu. Datin Maria yang mendengar rayuan suaminya pantas menepuk lembut tangan suaminya, menunjukkan protes. Datuk Arsyad yang faham dengan keadaan isterinya pantas berkata, " Biarlah, Mar. Aish suami Jannah. Kita tak ada hak nak menghalang. Seburuk Aish, dia tetap anak kita dan suami menantu awak itu."

Doktor lelaki itu mengangguk, menerima rayuan bapa kepada pesakit lelakinya itu. Dia pantas menyuruh jururawat membantu Aish untuk bergerak menuju ke pintu wad. 

Datin Maria menolak lembut pintu wad yang menempatkan menantunya itu. Apabila kepalanya muncul di sebalik pintu, matanya disapa dengan senyuman pahit Jannah. Air matanya bertakung melihat keadaan menantunya yang lebam di wajah. Melihat keadaan Jannah yang sebegitu, dia pantas masuk dan mendekati Jannah yang sedang terbaring di katil.

Jannah tersenyum tatkala ibu mertuanya itu mengusap lembut ubun-ubunnya. Air matanya bergenang di tubir mata. keperitan yang dirasai masih belum hilang. Tragedi hitam itu tidak akan dia lupakan sampai bila-bila walaupun maruah yang ada pada dirinya masih bersisa. Dia memandang ke arah pintu dan tersenyum tatkala seorang doktor lelaki dan ayah mertuanya masuk. Tetapi senyuman itu mati apabila wajah Aish muncul di sebalik pintu bersama seorang jururawat.

" Jannah, kamu okey?" tanya Datin Maria sambil mengusap lembut. Kehadiran anak lelakinya yang berada di belakangnya langsung tidak disedari.

Jannah tersentak apabila disoal lalu pantas mengalihkan matanya memandang Datin Maria. Ada air mata bergenang di tubir mata tatkala wajah Aish menyapa pandangannya. Sedih kerana keperitan yang diberi oleh suaminya itu. Dia tidak menyangka sama sekali, hati suaminya begitu kotor sekali!

" Apa yang awak buat dekat sini?" soalan Datin Maria tidak dijawab. Kini matanya dan soalannya lebih tertumpu ke arah suaminya yang sedang berdiri di belakang ibu mertuanya. Doktor muda dan jururawat tadi sudah pun beransur pergi dari bilik itu.

Apabila merasakan soalan yang ditujukan oleh Jannah bukan untuk dirinya, pantas Datin Maria memalingkan wajahnya ke belakang. Kemudian dia mengeluh halus sambil tangan Jannah diusap lembut. Punggungnya dilabuhkan pada kerusi yang berada di sisi katil itu. Kemudian, kedengaran esak tangis daripada Datin Maria. Perasaan bersalah kerana tindakan kejam anak tunggalnya itu membuatkan dia rasa sangat serba salah.

" Mama minta maaf dengan Jannah.. kerana mama Jannah terpaksa kahwin dengan Aish. Kerana mama Jannah terseksa dengan perkahwinan ini. Maafkan mama, sayang.. maafkan mama," pinta Datin Maria dengan esak tangis yang bersungguh-sungguh.

Jannah memalingkan wajahnya ke tempat lain. Tangisannya terhambur dan kasar sekali esak tangisnya. Dia memang terseksa. Tapi penyeksaannya bermula tatkala membaca mesej yang dihantar melalui telefon suaminya kepada Acad, lelaki yang hendak merogolnya. Selama ini, hatinya hanya terisi dengan cinta yang kian memutik kepada suaminya. Lagi-lagi bila lelaki itu mula menunjukkan rasa prihatin kepada dirinya. Tetapi semua itu hanyalah permainan lelaki itu yang ingin menghancurkan hidupnya. Yang tinggal kini, hanya kata-kata benci di ruang hatinya.

" Mama tak salah mama. Bukan mama yang sepatutnya minta maaf dengan Jannah. Jannah bahagia menjadi menantu mama. Mama layan Jannah seperti anak mama sendiri," ujar Jannah sebak sambil membalas pegangan tangan ibu mertuanya. Kemudian matanya menikam tepat ke arah wajah Aish. Dia perasan air mata tidak berhenti menitis membasahi pipi lelaki itu.

" Tapi dia, ma! Tapi dia yang sepatutnya rasa bersalah kerana sanggup menghancurkan hidup isterinya. Dia yang sepatutnya berada di tempat mama, bukan mama yang patut rasa begini!" jerit Jannah lantang sambil jari telunjukkanya menunjuk tepat ke arah lelaki itu. 

Aish mengetap bibirnya. Sedih hatinya mendengar kata yang terlafaz dari bibir isterinya. Air matanya dikesat sebelum dia bergerak perlahan  ke arah katil isterinya. Dia berdiri di hujung kaki isterinya. Nafas ditarik sedalam-dalamnya dan matanya memandang tepat ke wajah Jannah yang sudah lencun dengan air mata.

" Bukan... bukan saya dalang disebalik semua ini. Bukan saya.. tapi.. tapi Jo.."

" Kau nak buat alasan apa lagi Aish? Dulu aku biarkan layanan buruk kau dekat aku. Sebab apa, sebab aku sayang kau! Aku relakan hati aku ni ditoreh, dicarik-carik oleh kau sebab aku sayang kau, Aish... kau suami aku... salah ke kalau aku mula cintakan kau?" rintih Jannah setelah puas menghamburkan rasa marahnya. Tiada lagi panggilan 'saya' dan 'awak' untuk suaminya.

  Hati Aish sedikit pedih medengar panggilan wanita yang mula mendapat tempat di hatinya sudah bertukar kasar.
" Jannah, tolong dengan penjelasan saya dulu. Saya.."

" Aku dah tak nak dengar apa-apa lagi daripada kau. Aku benci kau!" hambur Jannah sekuat hati. Datuk Arsyad yang berada di sisi anaknya beristighfar manakala isterinya tidak henti-henti menangis.

" Nur Jannah!" Panggilan seseorang di muka pintu wad membuatkan empat pasang mata tertancap di situ. Melihat gerangan orang tersebut, air mata Jannah terus tidak henti-henti mengalir.
" Ibu," rintih Jannah.

" Ibu tak pernah ajar anak ibu untuk bercakap kasar dengan suami. Aish suami Jannah. Tetap suami Jannah sampai bila-bila," ujar Puan Salina bersama air mata yang bergenang di tubir mata. Matanya memandang menantunya yang menundukkan pandangan tatkala mata mereka beradu. Kemudian dia memandang ke arah anak perempuannya yang tidak henti merenungnya dengan renungan berkaca.

Datin Maria yang melihat besannya berasa sedikit terkejut. Namun dia tetap bangun dari duduknya dan berjalan pantas menuju ke besannya sebelum tubuh itu dipeluk erat.Dia berasa malu dengan besannya tatkala. Malu kerana beria-ria ingin bermenantukan Jannah tetapi menantunya itu tidak terjaga.

" Maafkan saya, kak sebab tak menjaga anak akak sebaik yang mungkin," pinta Datin Maria bersungguh-sungguh. Aish yang melihat keadaan itu membuatkan dia merasa seolah-olah ada batu besar menghempap kepalanya. Bagaimana kalau Puan Salina meminta dia untuk menceraikan Jannah? Ya Allah, dia masih belum terfikir untuk melepaskan isterinya walaupun tika dahulu, itu lah yang dia mahukan.

Puan Salina membalas pelukan besannya itu. Hatinya sebak mendengar kata-kata yang penuh penyesalan daripada Datin Maria. Tatkala melepaskan anaknya dalam sebuah perkahwinan, hatinya sudah terdetik bahawa perkahwinan anaknya itu pasti penuh dengan liku. Apabila Datuk Arsyad memaklumkan hal ini kepadanya, dia hanya mampu beristighfar.

" Sudahlah Maria. Tidak perlu diungkit perkara itu lagi. Ini semua dugaan Allah, Maria. Dugaan Allah bagi menguji kekuatan rumah tangga mereka. Jangan menangis lagi, Maria. Redhalah dengan apa yang terjadi," pujuk Puan Salina yang lebih tenang. Setitis air matanya jatuh jua. Dia sudah lama bersiap sedia untuk menghadapi ini semua. 

Puan Salina melepaskan pelukan Datin Maria. Bahu besannya itu ditepuk perlahan lalu berjalan mendekati katil anaknya. Dia berdiri di sisi Aish yang hanya menunduk di hujung kaki Jannah. Bahu menantunya ditepu perlahan membuatkan lelaki itu berpaling ke arahnya. Dia dapat lihat sinar kekesalan di mata lelaki itu.

" Ini semua ujian Allah. Jangan pernah berputus asa untuk menghadapi setiap ujian yang Allah beri. Jangan lari dari ujianNya." Mendengar kata-kata ibu mertuanya, air matanya mengalir lagi. Tangan wanita itu diraihnya lalu dikucupnya.

" Maafkan Aish, ibu. Maafkan Aish," pintanya berkali-kali. Dahinya langsung tidak dialihkan dari tangan ibu mertuanya.

Puan Salina mengusap lembut kepala Aish yang berbalut itu. 

" Sudah lah tu, Aish." Puan Salina menarik tangannya dari genggaman menantunya. Dia memandang ke arah anak perempuannya yang sudah berubah sedikit kasar pada pandangan matanya. Dia mendekati kepala katil itu. Wajah Jannah yang pucat itu direnung sepuas-puasnya.

" Ibu," panggil Jannah lemah lalu memeluk erat tubuh ibunya. Dihamburkan segala tangisan di dada ibunya.

Aish mengesat air matanya. Dia berjalan menuju ke pintu wad untuk keluar dari situ. Pintu wad itu ditariknya lalu keluar dari situ. Datin Maria dan Datuk Arsyad yang perasan akan kepergian anak lelaki mereka hanya membiarkan sahaja. Dalam hati masing-masing mengharapkan agar perkahwinan anak lelaki mereka kekal hingga ke akhir hayat.

Dua minggu berlalu...

Jannah duduk di balkoni bilik mereka suami isteri di rumah bapa dan ibu mertuanya. Setiap hari dia akan duduk di situ menanti kepulangan suaminya. Air mata yang menitis di pipi dikesatnya lembut. Kini, dia tahu apa yang terjadi di sebalik tragedi yang menimpa dia. Suaminya teraniaya! 

Setelah pulang dari hospital pada minggu lepas, bapa mertuanya mengajak dia berjumpa dengan lelaki yang cuba merogol dia di penjara untuk membongkar perkara sebenar. Dengan pujukan ibunya dan ibu mertuanya, dia turutkan jua. Sampai sahaja di sana, Acad menceritakan semua perkara sebenar kepadanya. Hatinya diterpa rasa bersalah yang menggunung di tambah lagi dengan dosanya kepada suaminya. 

Oleh kerana itu, saban hari dia menunggu kepulangan suaminya yang menghilangkan diri sejak keluar dari hospital. Dia tidak tahu ke mana suaminya pergi. Sudah puas keluarga suaminya mencari lelaki itu. Tetapi tetap tidak dijumpainya lelaki itu. Dalam doanya, tidak pernah nama suaminya dilupakan. Doanya sentiasa dititipkan buat lelaki itu. Biarlah Allah melindungi suaminya itu.

Abang, abang dekat mana? Tolonglah balik. Jannah rindu sangat dengan abang. Terlalu rindu. Baliklah, ubatkan hati Jannah yang sentiasa rindukan abang, rintihnya seorang diri.


" WOI bro. Termenung nampak. Ingatkan isteri ke?" tegur Rahim kepada Aish. Aish hanya mampu tersenyum tawar tatkala disergah sebegitu oleh kawan baiknya itu. Dia memerhatikan lelaki itu yang sedang mengelap meja makan restoran itu dengan cekapnya. Setelah keluar dari hospital, dia terus membawa diri jauh dari keluarganya sehinggalah dia terjumpa dengan Rahim, pemilik restoran tempat dia berkerja kini. Dia menumpang berteduh di rumah kawannya itu yang masih bujang.

" Kau tak nak balik ke, Aish? Aku kesian dengan keluarga kau. Masa tu, aku terserempak dengan mak dan ayah kau. Diorang tanya aku tentang kau," ujar Rahim lalu melabuhkan duduk di kerusi restoran itu. Restoran itu sudah pun hendak ditutupnya.

" So, kau bagitahu ke dekat mana aku berada?" tanya Aish lemah sambil memerhatikan kereta yang lalu lalang di luar restoran itu. Tangannya menongkat kepalanya.

" Aku tak bagitahu. Aku cakap, aku tak terserempak langsung dengan kau dekat mana-mana. Aku rasa bersalah sebab menipu diorang. Kalau aku tahu keadaan kau yang angau macam ni, aku bagitahu terus kat diorang," seloroh Rahim. 

Aish mengeluh halus. Perit jiwanya menanggung beban rindu terhadap isterinya. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia pulang ke rumah lalu memeluk isterinya. Tetapi dia pasti, semua itu mustahil. Isterinya sedang membenci dirinya tatkala ini atas kesalahan yang dia tidak pernah lakukan.

" Bro, baliklah. Bincang elok-elok dengan bini kau. Kau lari macam ni, tak ada yang dapat diselesaikan. Baliklah Aish, jumpa isteri kau," pujuk Rahim. Bahu kawannya itu ditepuk berkali-kali sebelum dia bangun dari duduknya. Tidak mahu mengganggu kawannya itu.


Telefonnya yang mengeluar nada lagu membuatkan perhatian Jannah terganggu. Al-Quran yang sedang dibacanya itu diletak ke tepi sebelum mencapai telefon bimbitnya itu. Nombor seseorang yang tidak dikenali terpapar di skrin.

" Helo, assalamualaikum," ucap Jannah teragak-agak.

" Wa'alaikumussalam, Jannah," sahut satu suara. Suara orang yang menjawab salamnya membuat nafasnya terasa sempit. Dia kenal suara itu! Dia kenal sama sekali. Masakan dia mahu melupakan suara itu! Air matanya sudah bertakung di tubir mata.

" Aish," panggil Jannah lembut menahan sebak di dada. 

" Jannah sihat? Dah makan?" tanya suaminya lagi. Jannah dengar ada esakan lembut di talian sebelah sana. Suaminya menangiskah? Tanpa disedari, air matanya menitis.

" Aish, tolonglah balik. Jannah rindukan Aish. Baliklah Aish. Jannah nak habiskan seluruh hidup Jannah dengan Aish. Jannah dah tahu semua yang terjadi. Baliklah Aish. Jannah tak akan tenang selagi Aish tak ada depan mata Jannah," rintih Jannah dengan tangisan yang memilukan hati Aish. Dia turut mengalirkan air mata mendengar rintihan isterinya.

" Abang pun rindukan Jannah. Rindu sangat-sangat. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa abang rindukan Jannah," ujar Aish sambil mengesat air matanya.

" Abang baliklah. Jannah rindukan abang," rintih Jannah lagi. Telekung yang dipakainya sudah lencun dengan air matanya yang galak turun ke pipi.

" Abang akan balik. Abang akan balik esok. Jannah tunggu abang tau. Sekarang ni, abang terpaksa matikan panggilan. Ada kerja yang abang kena uruskan. I love you, sayang. Assalamualaikum," ucap Aish lalu mematikan panggilan.

Jannah menarik telefon bimbit yang ditekap ke telinganya. Telefon bimbit itu dipandangnya seketika dengan mata yang berkaca. Jannah tunggu abang esok. Jannah tunggu...


Tiba hari yang dijanjikan. Jannah duduk di kerusi yang disediakan di luar rumah dengan ditemani Datuk Arsyad dan Datin Maria. Dari pagi tadi mereka menunggu kemunculan Aish sehinggalah masuk waktu tengahari. Yang paling sabar sekali menunggu, sudah tentu Jannah.

Mata Jannah serta mata kedua orang tua Aish tertancap pada sebuah kereta yang diberhentikan di seberang jalan. Kereta BMW itu amat dikenali oleh mereka. Pantas Jannah berdiri dengan hati yang tidak sabar untuk melihat gerangan lelaki itu.

Tatkala tubuh pemandu kereta itu keluar dari kereta itu, air mata Jannah terus menitis begitu juga Datin Maria. Dia terlalu rindu akan anak lelakinya seorang itu. Sungguh, dia sudah memaafkan segala dosa anak lelakinya itu.

Jannah terus berlari anak-anak menuju ke seberang jalan apabila melihat Aish yang sedang tersenyum manis itu. Apabila tiba sahaja Jannah di hadapan suaminya, lelaki itu pantas meraih tubuh isterinya lalu dipeluk erat. Tangisan mereka bergabung. Datin Maria menangis gembira sambil melentokkan kepalanya ke dada Datuk Arsyad dengan memerhati anak menantu mereka itu.

Setelah pelukan terlerai, Aish mengesat lembut air mata isterinya, begitu Jannah. Dia mengesat lembut air mata suaminya.
" Abang rindukan Jannah. Sangat-sangat," ucap Aish sambil mengucup lembut pipi isterinya. Kawasan perumahan yang lengang itu membuatkan Aish berpeluang melakukan aksi sebegitu.

" Jannah pun rindukan abang. Rindu sangat dekat abang," balas Jannah sambil mengeratkan lagi genggaman tangan mereka.

" I love you, sayang. Love you so much," luah Aish lalu memeluk sekali lagi tubuh isterinya. Jannah tersenyum bahagia lalu turut meluahkan rasa yang sama terhadap suaminya. Senyuman lebar terus bermain di bibir mereka masing-masing.

" Hanya dia, Jannah. Wanita yang paling ku cinta," bisik Aish romantis di telinga isterinya. Jannah mengeratkan lagi pelukan mereka dengan bahagia yang tidak bertepi di hati.

TAMAT

p/s: Tamat sudah akhirnya cerita ini. Fuhhh :) thanks kepada anda semua yang setia menanti cerita ini :)







2 comments: